Kelebihan solat Jumaat


Dalam hadis-hadis yang shahih banyak dijelaskan, bahawa permulaan Rasulullah SAW mengerjakan solat Jumaat pertama kali ialah di Madinah, dimana setelah Rasulullah sampai di Quba’ dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berhenti di kampung Amr Ibn ‘Auf. Baginda tinggal disitu selama beberapa hari iaitu dari hari Isnin higga hari Khamis. Dalam masa empat hari itu baginda telah membina sebuah masjid bersama dengan kaum Muslimin.kemudian pada hari Jumaat Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya. Ketika tiba waktu solat Jumaat baginda telah sampai ke kampung Bani Salim Ibn ‘Auf. 

Maka baginda terus mengerjakan solat Jumaat di salah satu masjid di dalam sebuah lembah. Maka itulah permulaan solat Jumaat yang dilaksanakan Rasulullah SAW di daerah Madinah. Khutbah Rasulullah SAW yang pertama yang disampaikan ialah mengenai jumlah orang yang mengikuti solat Jumaat dan mengenai syarat jamaah dalam mendirikan solat Jumaat. Tambahan lagi, kaum muslimin wajib mengerjakan solat Jumaat di mana sahaja dia berada. Sebab dinamakan solat Jumaat diantaranya ialah dikerjakan pada hari Jumaat. Selain itu, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa dinamakan solat Jumaat kerana pada hari itu para penduduk berkumpul atau berjamaah. 

Menurut Al-Allamah Muhammad Ahmad Syakir pula menegaskan bahawa jemaah itu merupakan suatu tuntutan yang berdiri sendiri yang bermaksud mereka yang tidak menghadiri solat Jumaat tanpa ada halangan atau uzur maka ia berdosa. Sementara itu menurut mazhab Imam Syafi’I berjamaah dalam mengerjakan solat Jumaat itu wajib dan termasuk dalam syarat sah mendirikan solat Jumaat. 

Seandainya seseorang meninggalkan atau tertinggal atau tidak sempat menunaikannya harus menggantinya dengan solat Zohor. Solat Jumaat ialah solat dua rakaat sesudah khutbah pada waktu Zohor di hari Jumaat. Hukumnya ialah fardu Ain, ertinya wajib keatas tiap-tiap lelaki yang dewasa, yang beragama islam, merdeka dan bermaustatin. Tidak wajib keatas perempuan, kanak-kanak, hamba sahaya dan orang yang sedang dalam perjalanan.

Firman Allah SWT; 
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu disuruh untuk solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingat Allah dan tinggallah jual beli”. (Al-Jum’ah:9)
Kemudian Raulullah bersabda; 
“Jumaat itu hak yang wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang islam dengan berjamaah bersama-sama, kecuali empat macam, hamba sahaya, perempuan, kanak-kanak, dan orang sakit.” (HR Abu Daud dan Hakim)
 
Antara halangan dalam mengerjakan solat Jumaat pula ialah kerana sakit yang memudaratkan dan hujan iaitu apabila hujan itu menimbulkan kesukaran seseorang itu hendak ke masjid. Khutbah Jumaat mempunyai rukun dan syarat. Antara rukun dua khutbah Jumaat ialah mengucap puji-pujian kepada Allah, selawat keatas Rasulullah SAW, mengucap syahadah, berwasiat atau memberikan nasihat, membaca ayat Al-Qur’an pada salah satu khutbah, mendoakan untuk mukminin dan mukminat pada khutbah kedua. 


Antara syarat-syarat dua khutbah pula ialah hendaklah kedua-dua khutbah itu dimulai sesudah tergelincir matahari, sewaktu berkhutbah khatib hendaklah berdiri jika berkemampuan, ksatib hendaklah duduk di antara dua khutbah, hendaklah bersuara jelas mudah didengari oleh siding Jumaat, hendaklah berturut-turut(baik rukunnya atau jarak keduanya mahupun dengan solat), khatib hendaklah suci daripada hadas dan najis dan khatib harus menutup aurat. 

Hikmah mengerjakan solat Jumaat pula ialah dapat mendidik umat Islam untuk hidup bermasyarakat dengan tertib dan teratur. Selain itu, solat Jumaat mengandungi nilai-nilai rohaniah dan kemasyarakatan yang sangat tinggi disamping bertujuan menyatukan kaum muslimin dan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama umat Islam. Tambahan lagi dapat membangun persatuan kaum muslimin yang kuat dan dapat memuhasabahkan diri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...