BIODATA : Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Almarhum Sultan Azlan Shah

 
 BIODATA : Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  Almarhum Sultan Azlan Shah
  • Diputerakan pada 27 November 1956
  • Putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah dengan Raja Permaisuri Perak Tuanku Siti Bainun Mohd Ali
  • Ditabalkan sebagai Raja Muda Perak pada 19 April 1987
  • Berkahwin dengan Tuanku Raja Puan Besar Perak Zara Salim Davidson pada 17 Mei 2007
  • Anakanda: Raja Mudzaffar Azlan Shah, Raja Nazira Safya Shah
Pendidikan
 
  • Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat
  • Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England (1979)
  • Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat (1984)
 
Khidmat
  • Pro Canselor Universiti Malaya bermula tahun 1989
  • Pengerusi Yayasan Hoki Malaysia bermula tahun 1992 hingga 2005
  • Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat.

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda.

Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah semalam.

Sultan Nazrin Shah, yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.

Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.

Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.

Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.

Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.

Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Harvard University.

Sultan Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.

Pada tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.

Selain itu, Sultan Nazrin Shah merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.

Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).

Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.

Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.

Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...