Bila Habis Waktu Sahur?

Ada orang yang bersahur terlalu awal sedang waktu subuh masih beberapa jam lagi. Ini tidak menepati amalan Nabi s.a.w. Baginda Nabi s.a.w melewatkan bersahur sehingga tinggal baki beberapa minit sebelum masuk waktu subuh.

 Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat... (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Waktu sahur pula berterusan sehingga masuk waktu Subuh.
Selagi tidak masuk waktu Subuh seseorang masih boleh bersahur. Masuknya Subuh adalah waktu imsak (bermula puasa) yang sebenar, bukan beberapa minit sebelum itu.

 Ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda. Kata isteri baginda ‘Aishah r.aha:
“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis Muslim pula, baginda bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

Hal ini selaras dengan kenyataan al-Quran: (maksudnya):
“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...