operasi cermin gelap membebankan rakyat.


Gabungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan operasi cermin gelap secara besar-besaran oleh polis trafik mulai 16 Jun ini sebagai tindakan bermusim yang hanya membebankan rakyat.
Operasi itu dianggap agak mengejutkan kerana undang-undang tidak dikuatkuasakan secara tegas biarpun sudah wujud sejak tahun 1992.

Pengerusi PPIM, Datuk Jamal Md Yunos, berkata penguatkuasaan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara tetap selama ini menyebabkan rakyat menganggap tiada halangan untuk menggunakan cermin gelap pada kereta masing-masing.

“Kenyataan polis trafik untuk menyaman mereka yang menggunakan cermin gelap dalam operasi besar-besaran menyebabkan rakyat melahirkan perasaan resah dan takut,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah wakil Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (PERKIB), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Pertubuhan Pakatan Setia 1Malaysia (PPS1M) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).

Jamal yang juga Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor berkata, rakyat terpaksa menanggung kerugian selepas mengeluarkan kos RM300 hingga RM1,000 untuk memasang cermin gelap.      

“Penggunaan cermin gelap memberi rasa selesa dan selamat kepada pengguna kerana penjenayah tidak akan dapat lihat apa yang ada di dalam kereta dan secara tidak langsung mengelak jenayah daripada berlaku.

“Golongan wanita akan merasakan lebih selamat memandu di dalam kereta yang cerminnya gelap kerana risiko menjadi mangsa jenayah dapat dikurangkan,” katanya.
-BH-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...