JDT rampas takhta Liga Super

Johor Darul Takzim (JDT) berjaya bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk merekodkan kemenangan 4-3 keatas Terengganu dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Kemenangan itu memberi peluang kepada JDT untuk merampas kedudukan teratas Liga Super, selepas Selangor keciciran mata apabila tewas 0-2 kepada ATM di Stadium Shah Alam.

JDT yang turun berkeyakinan tinggi bermain di gelanggang sendiri, dikejutkan Terengganu seawal minit ke-3 menerusi sepakan percuma Moustapha Dabo. Sepakan tersebut dihadiahkan selepas Ashaari Shamsuddin dijatuhkan di luar kotak penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT terus mengatur asakan dengan Shakir Ali kerap melibatkan diri dengan membuat hantaran jauh tepat ke kaki rakan di bahagian depan, sekaligus mencemaskan gawang Terengganu.

Dalam usaha keras JDT untuk mencari gol penyamaan, mereka sekali lagi dikecewakan, kali ini menerusi jaringan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-17, selepas dia menerima hantaran menarik daripada Ashaari Shamsuddin.

Tiga minit kemudian (m20), Mahali Jasuli bertindak bijak melepaskan diri daripada pertahanan lawan, sebelum melakukan hantaran baik untuk disudahkan Jorge Pereyra Diaz.

Di minit ke-36, pemain kelahiran Argentina itu sekali lagi muncul menjadi wira JDT apabila dia berjaya melakukan sepakan percuma di minit 38, sekaligus menyamakan kedudukan 2-2.

JDT yang beraksi lebih garang terus bangkit apabila memperoleh jaringan ketiga menerusi Mahali Jasuli di minit ke-45. Sebelum itu, Diaz yang mengambil sepakan percuma membuat hantaran kepada Amri Yahya untuk dirembat. Bola yang muntah daripada tepisan Sharbinee Allawee menuju ke kaki Mahali, sebelum dia menyempurnakan jaringan tersebut.

Pengadil terpaksa menghadiahkan penalti kepada Johor JDT, apabila Diaz dijatuhkan Vincent Bikana di dalam kotak penalti. Diaz yang mengambil sepakan tersebut mencipta hatrik setelah tenang menyempurnakannya.

Luciano Figueroa tampil beraksi menggantikan Diaz di minit ke-69 dan serta merta meraih peluang keemasan selepas menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha. Bagaimanapun sentuhan pertamanya itu tersasar jauh melewati ketika gawang Terengganu terbuka luas.

Di penghujung perlawanan (83), Bikana menghidupkan peluang Terengganu untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata apabila tandukannya ketika menyambut sepakan percuma menerjah gawang JDT.-astro-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...