Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik Mufti WP

Bekas Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pendakwah bebas yang disegani Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat-kuasa hari ini.

Beliau akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun menggantikan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang tamat tempoh perkhidmatan pada 20 Mac lalu selepas berkhidmat selama sembilan tahun, lapor akhbar Utusan Malaysia.

 Perlantikan baru ini menjadikan beliau Mufti Wilayah Persekutuan yang ketujuh.
 
Dr. Zulkifli adalah anak kelahiran Kemaman, Terengganu, berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengkhususan pengeluaran fatwa dari Universiti Sains Malaysia (USM).

  Beliau dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Pauh Kemaman, Terengganu. Selain itu, beliau adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Ilmu-ilmu Islam dan Arab, Syria.

 
 
Ketika di Syria, beliau pernah berguru dengan ramai sheikh-sheikh terkenal di sana seperti almarhum Dr. Sheikh Said Ramadhan al-Buti, Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili dan ramai lagi.
 
Beliau juga pernah bertugas sebagai pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selain aktif menulis dan bergiat sebagai pendakwah bebas.

Dalam masa yang sama beliau berpengalaman sebagai Pakar Rujuk Syariah, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Panel Penasihat Ibadat Haji, Lembaga Tabung Haji.

Beliau juga ialah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu selain terlibat sebagai penasihat syariah dalam beberapa institusi kewangan. Kini beliau banyak menulis dan menyampaikan kuliah dan ceramah sama ada di televisyen mahupun di seluruh tanah air.
 
Atas sumbangan dan ketokohan dalam ilmu Islam, beliau dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H/2014 peringkat negeri Terengganu dan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1433H/2012M.
 
Di IKIMfm beliau merupakan penyumbang tetap untuk rancangan Makarimul Akhlak yang diterbitkan oleh Dj Syafiq Zulakifli dan disiarkan setiap Isnin jam 9.15 malam. Sebelum ini beliau turut terlibat di IKIMfm sebagai penyumbang rancangan Ad-Daurah. Beliau turut diundang untuk Topik Jumaat dan pelbagai lagi rancangan di IKIMfm dan stesen-stesen tv juga.
Beliau merupakan penulis yang banyak menghasilkan karya-karya yang mendapat sambutan ramai.
 
Antara karya-karya beliau ialah:
  1. Intergriti Dalam Islam (2007), USIM. 
  2. Akuantabiliti Sebagai Mahasiswa Islam (2007), USIM. 
  3. Khazanah Irbidiyah 2: Hukum Wanita Menjadi Imam Solat
  4. Kontroversi Solat Jumaat Dr. Amina Wadud (Tulisan bersama al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri). 
  5. Khazanah Madaniyyah 2: Menyelusuri Ikhtilaf Mazhab Antara Keterikatan & Keterbukaan, Perpaduan & Perpecahan (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri)
  6. Khazanah Madaniyyah 3: Siri Hukum –Hakam Syariah & Kajian Ilmiah (1) – Hukum Jampi dan Pakai Tangkal (Suntingan al- Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri). 
  7. Khazanah Madaniyyah 4: Siri Hukum-Hakam Syariah & Kajian Ilmiah (2) – Hukum Bacaan al-Quran Untuk Si mati Adakah Sampai Pahalanya? (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri). 
  8. Khazanah Madaniyyah 5: Siri Hukum-Hakam Syara’ & Kajian ilmiah (3) Hukum Makan Katak & Berubat Dengannya (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri). 
  9. Khazanah Madaniyyah 6: Siri Hukum-Hakam Syariah & Kajian Ilmiah (4) – Memahami Kaedah Dharurat Dalam Islam (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri).
  10. Khazanah Madaniyyah 7: Siri Hukum-Hukum Syara’ & Kajian Ilmiah (5) – Hukum Penyerupaan Menurut Islam (Suntingan al- Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri). 
  11.  Khazanah Madaniyyah 9: Perbezaan Pendapat Mazhab Dikalangan Mazhab; Sebab-sebab, Adab & Penyelesaiannya (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri).
  12. Hukum Jampi Dan Pakai Tangkal (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri).
  13. Hukum Bacaan al-Qur’an Untuk Si Mati: Adakah Sampai Pahalanya (Suntingan al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri)
  14. Yaasin dan Doa – Sambutan Kemerdekaan ke-50 tahun, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2007), KPT dan USIM. 
  15.  Isu-isu semasa Global – Sambutan Kemerdekaan ke-50 tahun, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (2007), KPT and USIM. 
  16.  Lebih 160 kertas kerja di pelbagai seminar dan forum
Seluruh warga kerja IKIMfm merakamkan tahniah atas perlantikan ini dan berdoa moga Allah SWT membantu Y.Bhg. Dr. menjalankan tugas Mufti  yang pasti mencabar ini.
-IKIM-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...