Cuaca kini bagaikan tidak menentu. Ada kalanya panas terik di tengah hari dan hujan lebat pada waktu petang.
Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ini, ada dalam kalangan kita terpaksa membatalkan percutian yang sudah lama dirancang. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin bercuti dengan keluarga dan punya anak kecil.
Musim hujan bukan satu alasan untuk tidak pergi bercuti atau menjadi halangan untuk meneruskan percutian yang sudah lama dirancang.
Justeru, perancangan dan penelitian terhadap beberapa hal akan membuatkan percutian anda di musim cuti lebih menyenangkan.
AMBIL tahu ramalan cuaca di destinasi yang anda kunjungi.
TIDUR yang cukup perlu ketika bercuti supaya anda sentiasa sihat.
Bercuti di musim hujan? Jom semak tip melancong minggu ini.

1) Kenali destinasi yang akan anda tuju
Jika destinasi percutian anda adalah negara tropika, maka sudah dipastikan di akhir tahun adalah musim hujan. Ketahui musim hujan di destinasi percutian anda yang ingin dikunjungi.
Dengan itu, anda boleh bersedia dari segala macam keperluan.
2) Destinasi percutian alternatif
Jika anda bercuti saat musim hujan, jangan sampai anda terkandas di bilik hotel seharian kerana hujan.
Buat perancangan tempat menarik yang boleh dikunjungi ketika hujan.
Muzium atau galeri seni antara tempat yang boleh menjadi pilihan. Pengangkutan seperti teksi pastinya antara yang terbaik saat hujan.
3) Ramalan cuaca
Cari tahu ramalan cuaca di destinasi percutian yang akan dikunjungi. Bagaimana keadaan cuaca pada hari kunjungan anda atau sepanjang berada di sana.
Jika hujan lebat dengan angin kencang berlaku ketika anda sudah berada di destinasi, ada baiknya anda berada di hotel saja atau dalam suatu ruangan.
4) Daerah banjir
Banjir adalah fenomena alam yang sememangnya sukar di ramal. Namun, ketika memilih destinasi yang akan dikunjungi saat musim hujan, pastikan tempat itu bukan daerah banjir.
Jika ia, anda seharusnya perlu berhati-hati. Jangan nekad merendah banjir walaupun anda boleh lalui dengan hanya berjalan kaki. Anda mungkin boleh sakit kerana tindakan berani anda itu.
5) Bawa payung dan baju hujan
Tidak semua kita suka membawa payung ke mana saja walaupun ketika musim hujan. Namun, tiada salahnya jika anda membawa baju hujan serta payung kecil yang dimuatkan dalam beg.
Lebih baik anda membawanya daripada anda mandi hujan di jalan.
6) Jaga stamina
Biasanya saat bercuti, waktu tidur sememangnya kurang. Seboleh mungkin anda tidur enam hingga lapan jam sehari walaupun ketika bercuti.
Jaga stamina dengan pemakanan yang baik terutama buah-buahan. Jangan lewatkan sarapan dan ambil vitamin bila perlu.
7) Sediakan ubat-ubatan dan kelengkapan lainnya
Selesema, batuk dan demam adalah sakit yang sering menyerang ketika musim hujan. Justeru, jika merancang untuk bercuti di musim hujan ini, jangan pernah lupa untuk membawa ubat-ubatan sesuai. Ubat selesema, sakit kepala, demam dan batuk.
Ubat-ubatan ini sememangnya ada di jual di destinasi yang dituju. Namun, jika anda sudah bersiap sedia, tidak perlu mencari kedai yang menjual ubatan saat anda dalam kesakitan.
Pakaian dan peralatan bersesuaian juga perlu dibawa bersama. Bawa juga baju sejuk atau ‘sweater’ untuk membantu memanaskan anda.
Kasut pula biar bersesuaian dengan cuaca yang basah itu. Semua itu adalah untuk kelancaran percutian anda. Selamat bercuti!