AIR zam zam yang terdapat di Masjidil Haram di Makkah
Air yang baik untuk kesihatan dipanggil sebagai air berfungsi (functional water). Maksud air berfungsi yang boleh memberikan kesan kesihatan yang positif. Fungsi utama air dalam tubuh manusia sebagai pelarut, pelincir, pengangkut zat nutrisi makanan, perkumuhan, mengawal suhu badan dan medium tindakan metabolisme sel-sel.
Secara umumnya air berfungsi adalah air yang membantu dalam proses biologi tubuh manusia. Air adalah penting untuk kesihatan yang terbaik. Jumlah air yang diambil juga amat penting kerana kekurangan air boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.
Jika tubuh manusia kekurangan air atau dehidrasi, pelbagai masalah kesihatan boleh timbul seperti batu karang buah pinggang, kanser saluran kencing, kanser usus dan kanser payu dara.
Air terbaik untuk kesihatan adalah air zamzam. Dari segi sains, air zamzam mengandungi kandungan mineral dengan nisbah yang tepat, yang sangat baik untuk kesihatan. Dengan mengambil kira faktor kandungan mineral ini, air yang baik untuk kesihatan adalah air mineral asli.
Bagi sumber mineral terbaik kepada tubuh manusia, air adalah sumber terbaik. Garam mineral seperti kalsium, magnesium, kalium, kromium, selenium, natrium, zink dan sebagainya amat penting untuk fungsi metabolisme tubuh manusia yang normal.
Menurut kajian, air zamzam lebih beralkali dan mempunyai nisbah kandungan tinggi mineral magnesium yang baik untuk kesihatan.
Sumber semula jadi air beralkali adalah air zamzam, air mata air, air cairan glasier, air gunung dan sebagainya. Air mineral yang dibotolkan dari sumber mata air yang asli biasanya sedikit beralkali. Air beralkali adalah air yang mempunyai nilai pH dari 7.1 hingga 10. Air beralkali lebih berkhasiat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang berdasarkan banyak kajian yang dijalankan terutamanya di Jepun, Korea Selatan, China dan Russia.
Minum air paip secara terus adalah kurang baik untuk kesihatan kerana ia tinggi kandungan klorin, ampaian, karat besi dan pelbagai jenis logam berat di dalamnya. Kita elok minum air yang disuling untuk membuang klorin berlebihan selain menapis karat besi dan sebagainya dalam air.
Terdapat pelbagai jenis penapis air di pasaran, terpulanglah kepada kita untuk menggunakannya. Penapis air biasanya dipasang kepada paip di sinki dapur untuk kegunaan harian seperti air minuman dan masakan.
Terdapat kajian yang menunjukkan lebihan klorin yang bercampur dengan bahan organik dalam air paip yang dipanaskan akan menyebabkan penghasilan bahan karsinogen trihalometana.
Minum air hujan, air sungai, air perigi dan air kolam secara terus tanpa dimasak juga berbahaya kepada kesihatan kerana ditakuti terdapat kuman yang mengancam tubuh kita. Minumlah air yang sihat demi kesihatan yang baik untuk jangka masa yang panjang.